Thursday, November 25, 2010
Haji Yang Mabrur
SELAMAT KEMBALI KEPADA SEMUA PARA JEMAAH HAJI 1431H,
SEMOGA BEROLEH HAJI YANG MABRUR
DARI SAHABAT NETWORK NEGERI SEMBILAN
Pengertian sebenar haji mabrur
Bersama Tabung Haji:
Oleh Zulkarnain Ali
Oleh Zulkarnain Ali
TUNTUTAN ISLAM: Niat menunaikan haji mesti ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah.
Keikhlasan tunai ibadat perlu bermula dari rumah, tidak boleh riak
ISTILAH mabrur lebih mashyur di bibir masyarakat daripada mengetahui maknanya yang sebenar. Apakah yang dimaksudkan haji mabrur?
Ibn Kholawaih mentakrifkan al-Mabrur sebagai al-Maqbul iaitu diterima. Dan ada yang mengatakan sesuatu yang tidak bercampur dengan dosa. Kemudian, diabsahkan (tarjih) oleh Imam Nawawi dengan pendapat itu (tidak bercampur dosa).
Apabila merujuk kitab hadith yang muktabar seperti Sahih Bukhari, Imam Bukhari meletakkan bab yang khusus bertajuk ‘Kelebihan Haji Mabrur’, manakala Imam Muslim meletakkan perbincangan haji yang diterima di dalam bab ‘Iman kepada Allah Taala seafdal-afdal amalan’.
Ini berdasarkan dua riwayat utama, Abu Hurairah dan Aisyah Radiyallahu’anha iaitu:
Riwayat dari Abu Hurairah Radiyallahu’anhu:
“Ditanyakan kepada Baginda manakah amalan yang lebih afdal? Maka dijawabnya iman kepada Allah dan Rasulnya. Kemudian apa? Jihad di jalan Allah. Kemudian? Sabdanya: Haji yang mabrur (diterima).”
“Aku dengar Nabi bersabda: sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah, kemudian tidak melakukan kerosakan dan tidak fasiq, maka dia akan kembali seolah-olah baru dilahirkan oleh ibunya (bersih daripada dosa-dosa)“.
Riwayat ‘Aisyah Radiyallahu’anha:
“Wahai Rasulullah, kami melihat jihad adalah seafdal-afdal amalan. Adakah kami perlu berjihad? Sabda baginda: Tidak, akan tetapi seafdal-afdal jihad ialah haji yang diterima (mabrur)“.
Secara umumnya, sebagai seorang yang taat kepada Allah dan Rasulnya yang ingin mencapai haji yang diterima di sisi Allah, hendaklah memenuhi kriteria berikut:
- Hajinya hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah dan tidak riak (menunjuk-menunjuk).
Imam Nawawi ketika menafsirkan hadith di atas dengan berkata;
“Mabrur (diterima) adalah baik hajinya. Dikatakan al-mabrur juga ialah haji yang tidak bercampur dengan dosa. Ada yang mengatakan tidak riak pada hajinya.”
Niat menunaikan haji hendaklah ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah seperti perasaan riak iaitu menunjuk-nunjuk atau sebagainya yang membawa kepada kemurkaan Allah.
Malah, Rasulullah mengajar kita dengan doa yang telah thabit di dalam hadisnya, antaranya doa ketika bermusafir:
“Ya Allah, Engkaulah Empunya permusafiran ini, dan khalifah bagi (menjaga) keluarga (ku), aku berlindung dengan-Mu dari keburukan permusafiran, kekaburan penglihatan, keburukan pada harta dan keluarga“.
- Semua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada yang halal.
Di dalam Sahih Muslim ada hadith menyebut:
“Sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak menerima kecuali yang baik-baik dan sesungguhnya Allah menyuruh orang mukmin mengikut apa yang diperintahkan oleh para utusan Allah. Kemudian baginda membacakan ayat al-Quran.
“Wahai sekalian Rasul, makanlah daripada (makanan) yang baik-baik (halal) dan beramal soleh. Sesungguhnya aku tahu apa yang kamu lakukan. Kemudian Rasulullah membacakan lagi:
“Wahai orang yang beriman, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal) dari apa yang kami rezekikan” (Surah al-Baqarah 172).
Kemudian disebut, seorang lelaki bermusafir menadah tangan ke langit seraya berkata ‘Ya Tuhanku’ sedangkan punca makanan dari yang haram, minuman punca yang haram, pakaiannya punca yang haram. Bagaimana ia boleh diterima?”.
- Melakukan fardu haji sesuai dengan ditunjukkan oleh sunnah yang sahih.
Bermula dengan niat sehinggalah haji wada’ ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah di dalam sunnahnya. Sebagai seorang Muslim yang sejati, kita wajar meneladani Baginda tanpa menambah ibadat yang tidak pernah dilakukan Baginda.
Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya.
Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya.
Ali Radiyallahu’anh ketika ditanya perbuatannya mencium hajarul aswad, maka beliau menjawab “Kau hanya sebuah batu yang tidak mampu membawa mudarat dan faedah, kalau bukan kerana aku lihat Rasulullah mengucupnya, sudah aku tidak aku mengucupnya.” (Muttafaqun Alaih).
Ini jelas menunjukkan kita melakukan ibadat mengikut teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah tanpa menokok tambah berdasarkan akal semata-mata.
- Selepas menunaikan haji, berusaha pula melakukan badal (ganti) haji ayah dan ibu yang tidak berkemampuan menunaikan Haji.
Ini sesuai dengan hadis:
“Ya Rasulullah, sesungguhnya emakku telah bernazar untuk menunaikan haji, tetapi tidak ditunaikan sehingga dia meninggal dunia, adakah aku perlu menunaikan hajinya? Sabda Rasulullah: Ya, tunaikanlah haji untuknya. Adakah kau lihat jika emakmu berhutang engkau akan membayarnya? Jawab wanita itu: Ya. Sabda Nabi: Begitu juga (hutang) kepada Allah. Malah kepada Allah lebih layak dilunaskan (hutangnya)“. (Sahih Bukhari No Hadith 1720, 6771).
Adakah Haji Mabrur menghapuskan dosa yang besar?
Imam al-Munzir antara yang berpendapat mengatakan bahawa haji yang diterima diampunkan sekali gus dosa yang besar mengikut mafhum hadis berikut;
“Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat/dosa dan tidak fasiq, kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa).“
Akhir sekali, marilah kita bersama-sama mendalami sebenar inti pati fardu haji. Semoga kita tergolong di dalam golongan orang diterima hajinya di sisi Allah Ta’ala. Dan kembalinya kita ke tanah air dari Makkah biarlah berdasarkan hadis yang telah disebutkan;
“Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat/dosa dan tidak fasiq, kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa)”.
INTI PATI
- Niat menunaikan haji hendaklah ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah seperti perasaan riak iaitu menunjuk-nunjuk atau sebagainya yang membawa kepada kemurkaan Allah.
- Melakukan fardu haji sesuai dengan ditunjukkan oleh sunnah yang sahih.
- Semua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada yang halal.
- Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya.
- Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat/dosa dan tidak fasiq, kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa).
- Penulis adalah Pengurus (Hal Ehwal Haji Antarabangsa), Lembaga Tabung Haji.
Tuesday, November 23, 2010
Thursday, November 11, 2010
Memahat cita-cita - Pengarah Urusan
Cita-cita adalah sesuatu yang sangat mulia dan ia juga dikategorikan sebagai niat. Cita-cita diikuti dengan perjuangan yang bersungguh-sungguh bagi mencapainya berbeza dengan panjang angan-angan yang hanya mimpi kosong tanpa sebarang pergerakan. Bila sesaorang itu ada cita-cita yang besar ia akan mendapat tentangan dari persekitaranya kerana semangat dalam dirinya sudah tidak melihat lagi besarnya rintangan yang akan dilaluinya. Dia perlu memakai pakaian sabar untuk terus mengekalkan cita-citanya kerana proses kejayaan bukan satu hari.
Dia juga perlu menyabarkan orang-orang yang bersama-samanya agar kuat berdiri mengharungi badai yang terus menerjah. Bila cita-cita sudah mula menampakkan hasil kepenatannya juga semakin hilang bagai nakhoda yang mula terpandang kepada daratan.Bagitulah bermulanya kejayaan mereka yang telah memahat sejarah dunia hasil dari sebuah cita-cita. Oleh sebab itu hidup perlukan cita-cita,perjuangan perlukan cita-cita dan kejayaan juga perlukan cita-cita.Gantunglah cita-citamu di bulan,nanti bintang akan berguguran diribaanmu
Friday, November 5, 2010
San Francisco haramkan hadiah percuma di McDonald
sumber : Utusan Malaysia Online
LOS ANGELES 4 Nov. – San Francisco menjadi bandar raya utama Amerika Syarikat (AS) yang pertama meluluskan undang-undang menghentikan amalan popular memberikan barangan permainan percuma dengan makanan dari restoran itu, yang tidak sihat untuk kanak-kanak.
Lembaga Penyelia San Francisco meluluskan undang-undang itu dengan majoriti lapan undi veto menyokong, manakala tiga lagi undi veto membantah.
Undang-undang ini akan berkuat kuasa bermula pada 1 Disember 2011.
Peraturan ini sama seperti yang diluluskan oleh Majlis Perbandaran Santa Clara County awal tahun ini yang menetapkan makanan kanak-kanak yang disediakan oleh restoran perlu mematuhi piawaian pemakanan sebelum mereka boleh menjualnya dengan memberikan barangan permainan percuma.
Antara penentang undang-undang ini ialah Pertubuhan Restoran Kebangsaan dan McDonald’s Corp., yang secara meluas terkenal dengan hidangan Happy Meal dan merupakan perintis amalan menggunakan permaianan percuma untuk memasarkan secara langsung kepada kanak-kanak.
“Kami sangat kecewa dengan keputusan itu. Ini bukanlah yang dimahukan oleh pelanggan kami, mahu pun yang diminta oleh mereka,” kata jurucakap McDonald’s, Danya Proud dalam satu kenyataan.
“Memberikan barangan permainan dengan makanan kanak-kanak hanyalah sebahagian daripada kegembiraan dan pengalaman keluarga di McDonald’s,” katanya.
Undang-undang San Francisco menetapkan hanya makanan kanak-kanak yang kurang 600 kalori, mengandungi buah-buahan dan sayur-sayuran, termasuk minuman tanpa lemak dan gula berlebihan sahaja dibenarkan menggunakan amalan pemberian barangan permainan.
Penyokong peraturan ini berkata, mereka mensasarkan untuk mempromosi amalan pemakanan sihat dan memerangi gejala obesiti kanak-kanak. – Reuters
Monday, November 1, 2010
TAUJIHAD DARI PRESIDEN KPA (PENGERUSI GROUP SAHABAT NETWORK)
SELAMAT BERJUANG !
Selamat Berjuang !
Salam perjuangan buat semua ahli HPA... khususnya Sahabat Network. Setelah jauh kita menyusuri perjalanan ini, Allah masih berikan kita kekuatan. Kita tetap teguh mendokongi amanah ini.
Namun, antara kita dikatakan kepenatan, ada yang keciciran dan... ada yang mencemuh perjuangan murni ini. Kembalikan niat suci kita... bangunkan aqidah ! bangunkan muamalat Islam, bangunkan ekonomi ummah, bangunkan kesedaran tentang halal dan baik.
Musuh kita berada di luar... dan di dalam jamaah ini. Berwaspadalah. Jangan tertipu dengan tusukan jarum halus yang akhirnya perjuangan ini di pandang sinis dari mereka yang tiada ikhlas.
Sahabat-sahabat sekalian,
Bina kekuatan, bina semangat, luruskan niat dan atur langkah untuk bergerak kukuh. InsyaAllah, puncak kejayaan yang hakiki sedang menanti. Amin.
Hafidzan
Salam perjuangan buat semua ahli HPA... khususnya Sahabat Network. Setelah jauh kita menyusuri perjalanan ini, Allah masih berikan kita kekuatan. Kita tetap teguh mendokongi amanah ini.
Namun, antara kita dikatakan kepenatan, ada yang keciciran dan... ada yang mencemuh perjuangan murni ini. Kembalikan niat suci kita... bangunkan aqidah ! bangunkan muamalat Islam, bangunkan ekonomi ummah, bangunkan kesedaran tentang halal dan baik.
Musuh kita berada di luar... dan di dalam jamaah ini. Berwaspadalah. Jangan tertipu dengan tusukan jarum halus yang akhirnya perjuangan ini di pandang sinis dari mereka yang tiada ikhlas.
Sahabat-sahabat sekalian,
Bina kekuatan, bina semangat, luruskan niat dan atur langkah untuk bergerak kukuh. InsyaAllah, puncak kejayaan yang hakiki sedang menanti. Amin.
Hafidzan
Subscribe to:
Posts (Atom)